Mula tahun baharu dengan hidup lebih sihat

Mula tahun baharu dengan hidup lebih sihat

Bagi sesetengah orang, permulaan tahun baharu juga termasuklah menetapkan matlamat untuk meningkatkan tahap kesihatan dan meninggalkan tabiat buruk. Penting untuk membuat resolusi yang bukan sahaja boleh meningkatkan kesihatan tetapi juga mudah dan sesuai untuk dilakukan. Sehubungan dengan itu, Ayuwan kongsikan langkah-langkah yang boleh diambil untuk hidup lebih sihat pada tahun 2024 dan mencapai matlamat kesihatan anda.

 

Kurangkan berat badan

Obesiti pada hari ini telah menjadi isu semasa, dan adalah penting memberikan perhatian khusus kepada diet dan aktiviti fizikal. Menurunkan berat badan adalah salah satu langkah terpenting yang boleh anda ambil ke arah kesihatan lebih baik. Berat badan yang diturunkan sebanyak lima hingga 10 peratus dapat membantu mengurangkan risiko keadaan kesihatan kronik seperti penyakit jantung, diabetes jenis 2 dan tekanan darah tinggi. Selain itu, penurunan berat badan juga boleh meningkatkan penampilan diri menjadi lebih menarik.

 

Amalkan pemakanan yang sihat

Kita disarankan supaya mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari kerana hidangan itu rendah kalori dan lemak, tinggi serat serta kaya dengan sumber vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh anda untuk berfungsi pada tahap optimum. Makanan yang mengandungi serat membuatkan anda berasa kenyang lantas mengelakkan anda makan berlebihan dan membantu menurunkan berat badan. Di samping itu, kita mestilah mengurangkan makanan yang berlemak untuk mengelakkan penyakit seperti tekanan darah tinggi dan penyakit jantung. Selain itu, pemakanan yang sihat juga melibatkan cara anda makan. Kita perlu makan dengan perlahan dan kunyah dengan berhati-hati kerana makan terlalu cepat boleh menyebabkan makan berlebihan.

 

Tukarkan makanan kepada alternatif yang lebih sihat

Anda boleh menukar beras putih kepada beras perang yang mempunyai khasiat yang lebih tinggi. Pengambilan beras perang berbanding dengan beras putih boleh menurunkan tahap glukosa dalam darah dan meningkatkan keberkesanan insulin dalam kalangan individu yang mempunyai masalah berat badan berlebihan. Selain itu, ada yang suka mengunyah sesuatu ketika menonton drama atau filem. Pilihlah alternatif yang lebih sihat seperti buah-buahan dan snek panggang yang diperbuat daripada jagung atau nasi. Elakkan kerepek kentang kerana ia mengandungi kadar natrium dan minyak yang tinggi.

 

Kurangkan makan makanan terproses

Makanan terproses tidak baik untuk kesihatan kerana makanan akan kehilangan nilai khasiatnya selepas diproses, dan bahan pengawet yang ditambah kepadanya tidak baik untuk kesihatan sama sekali. Kandungan garam sangat tinggi dalam kebanyakan makanan yang diproses. Ia boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

 

Minum air kosong secukupnya dan kurangkan minuman manis

Kira-kira 60 peratus daripada badan terdiri daripada air dan air merupakan sumber asas yang sangat penting untuk fungsi badan kita. Bawa botol minuman ke mana sahaja anda pergi dan minumlah air secukupnya. Selain itu, mengurangkan pengambilan minuman manis adalah langkah yang baik untuk meningkatkan kesihatan secara keseluruhan. Minuman manis dikaitkan dengan peningkatan risiko obesiti, hati berlemak, penyakit jantung dan rintangan insulin. Mungkin anda merupakan seorang individu yang suka mengambil makanan tinggi gula dan tinggi lemak. Mengurangkan pengambilan secara beransur-ansur agar anda tidak terbeban dengan pelaksanaan tersebut. Contohnya, anda boleh tambahkan potongan buah-buahan segar ke dalam air untuk memberikan rasa semulajadi tanpa tambahan gula.

 

Kurangkan duduk, banyakkan bergerak dan bersenam

Terlalu banyak duduk boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan. Dalam usaha mencapai kesihatan yang lebih baik pada tahun baharu, anda perlu banyak bergerak, lakukan senaman fizikal dan aktiviti kecergasan sama ada di dalam atau di luar rumah. Cara yang mudah untuk kurangkan duduk dan banyakkan pergerakan seperti naik tangga dan bukannya lif serta bersenam sambil menonton televisyen. Jika pekerjaan anda memerlukan waktu duduk yang lama, tanamkan azam untuk berjalan kaki selama 15 minit semasa makan tengah hari atau berdiri dan berjalan selama 5 minit setiap jam. Bukan itu sahaja, kita haruslah mengamalkan amalan bersukan dan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu dan 30 minit bagi setiap sesi. Bersenam meningkatkan jangka hayat, membantu penurunan berat badan, memberikan kepadatan tulang yang lebih tinggi, dan mengurangkan risiko penyakit, di samping meningkatkan tahap kecergasan fizikal.

 

Lakukan pemeriksaan kesihatan tahunan

Kita mestilah menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Pemeriksaan berkala merupakan langkah pencegahan penyakit dan memulakan rawatan dari peringkat awal jika didapati menghidap sebarang penyakit. Pastikan membuat pemeriksaan secara berkala walaupun anda berasa sihat.

 

Kesihatan adalah anugerah Tuhan yang perlu kita hargai. Kita baru saja langkah ke tahun baru 2024, adalah wajar bagi kita tetapkan sasaran berkaitan dengan aspek kesihatan pada peringkat awal lagi.

Comments 
Leave a comment
Your Email Address Will Not Be Published. Required Fields Are Marked *
Our Topics
Subscribe Us
Subscribe to our newsletter and receive a selection of cool articles every weeks