Aura Positif
Dikelilingi oleh persekitaran yang positif sudah tentu memberi impak yang baik kepada anda. Kita menjadi lebih gembira dan lebih bersemangat dalam aktiviti kita. Namun begitu, tenaga positif bukan sahaja diperolehi daripada suasana sekeliling, tetapi juga daripada manusia. Satu perkara yang perlu ada pada sesiapa yang ingin mencapai matlamat atau kejayaan dalam kehidupan adalah aura positif. Aura positif dikaitkan dengan orang yang sentiasa memancarkan aura atau pengaruh positif kepada persekitaran sekeliling, termasuk keluarga, rakan atau rakan sekerja. Mereka popular kerana dapat menghidupkan suasana dan menaikkan semangat.
Berikut tips yang boleh diikuti untuk mengekalkan aura positif anda.
Mempunyai Keyakinan Diri yang Tinggi
Keyakinan diri yang tinggi memainkan peranan penting dalam kehidupan positif. Ini kerana anda percaya kepada kemampuan diri sendiri untuk mengatasi cabaran dan dugaan. Ia memberikan daya tahan mental dan semangat untuk terus maju walaupun dalam situasi yang mencabar. Terdapat pelbagai perkara yang anda boleh lakukan untuk meningkatkan keyakinan diri anda seperti menukar penampilan, selalu menuntut ilmu dan juga keluar dari zon selesa anda. Selain itu, terima diri dengan segala kelebihan dan kekurangan. Sentiasa ingat bahawa setiap langkah kecil menuju perkembangan diri adalah satu langkah yang bernilai.
Jangan Fikir Zaman Silam
Bagi mereka yang pernah mengalami kegagalan atau masalah pada masa dahulu, anda perlu mencuba untuk tidak berfikir tentang zaman itu kerana ia boleh memberi kesan yang negatif. Ini akan menyebabkan anda risau mengalami pengalaman yang sama seperti dulu dan tidak berani untuk mencuba perkara baru atau menghadapi masalah.
Bersenam
Bersenam juga merupakan cara yang efektif untuk mengekalkan aura positif anda. Anda akan mengeluarkan endorphin setiap kali bersenam yang membantu untuk mengurangkan stress.
Buat Perkara Yang Anda Minat
Membuat perkara yang anda minat seperti hobi anda, mengelak anda dari berasa gelisah dan stress. Anda akan lebih bersemangat untuk membuat kerja atau perkara lain dan akan lebih positif berbanding dengan dulu.
Orang yang mempunyai aura positif biasanya mempunyai ciri-ciri berikut:
- Berperwatakan menarik dan positif
- Bersikap ramah dan mudah bergaul dengan orang lain
- Sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki
- Kesihatan baik dan sihat (mental, fizikal & emosional)
- Berkarisma tinggi
- Empati
- Wajah kelihatan segar berseri dan muda
- Mempesona
- Hidup rasa tenang, tenteram dan damai
- Emosi stabil walau apa jua cabaran
- Berfikiran terbuka dan mempunyai perspektif yang luas
- Mempunyai wawasan dan pengetahuan yang tinggi
Beberapa tindakan mudah yang boleh anda lakukan untuk mencipta aura positif:
- Senyum dan memberi salam kepada orang yang anda temui.
- Berkomunikasi dengan Baik. Hindari gosip dan pertikaian yang tidak perlu.
- Ucapkan terima kasih apabila anda menerima bantuan
- Beri pujian
- Hormati semua orang tanpa diskriminasi
- Mengambil berat tentang orang lain
- Maafkan kesalahan orang lain
- Menerima diri sendiri dan orang lain dengan kelebihan dan kelemahan
- Berkongsi perkara positif di media sosial atau dengan orang di sekeliling anda
- Menghargai dan bersyukur dengan segala yang anda miliki
- Memberikan bantuan secara sukarela dapat meningkatkan perasaan positif
- Menjauhi hubungan dan persekitaran yang toksik
Aura positif bukan sekadar menyebarkan aura positif (spread positivity), tetapi juga berfikiran positif. Oleh sebab itu, untuk menjadi individu yang positif, mulakan dari diri sendiri dengan sikap yang baik dan jauhi pemikiran negatif.