
Cara-cara Menangani Tekanan Dan Stress – 10B
Sesiapa sahaja boleh mengalami stress termasuk kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas. Stress atau tekanan merupakan tindak balas fizikal, emosi dan mental terhadap tuntutan yang tidak dapat dipenuhi. Tahap stress yang dihadapi oleh seseorang berbeza mengikut beban tekanan yang dihadapi. Stress yang sedikit atau sederhana boleh menjadi faktor pendorong atau motivasi untuk meningkatkan produktiviti. Namun, stress yang berlebihan, untuk jangka masa panjang dan tidak dapat ditangani akan menyebabkan kesan negatif, dan meningkatkan risiko terhadap penyakit serta memudaratkan kesihatan.
Oleh hal yang demikian, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan penyelesaian jangka pendek sebagai kawalan emosi kendiri yang dikenali sebagai keadah “10B”. Apabila menghadapi tekanan, anda digalakkan untuk mengikuti kaedah ini secara berturutan.
- Bertenang
Bawa bertenang jika anda berasa stress atau berasa ketegangan. Ini boleh membantu mengurangkan kitaran stress negatif pada peringkat permulaan.
- Bernafas dengan dalam
Lakukan latihan pernafasan yang boleh meningkatkan pertukaran oksigen dan karbon dioksida dalam sel tubuh bagi mengurangkan ketegangan.
- Berkata `relakslah’
Kata-kata ini sedikit sebanyak dapat menenteramkan perasaan dan mengurangkan stress.
- Beribadat
Berzikir dan sembahyang mengikut kepercayaan masing-masing. Beribadat dapat memberi sokongan emosi dan boleh melegakan perasaan seseorang.
- Bercakap dengan seseorang
Berkongsi dan meluahkan perasaan dengan orang yang dipercayai dan memahami perasaan anda. Anda akan berasa lega dan mengurangkan tekanan.
- Berurut
Dalam keadaan stress, otot-otot di bahagian leher dan bahu akan menjadi tegang. Urutan boleh melegakan tegangan otot dan melancarkan perjalanan darah.
- Berehat dan mendengar muzik
Alunan muzik yang lembut dapat membantu mengurangkan denyutan jantung yang laju dan tubuh badan anda akan mula relak serta pernafasan anda akan kembali normal. Ini membuat anda berasa tenang.
- Beriadah
Lakukan aktiviti di luar rumah bersama ahli keluarga dan rakan-rakan. Beriadah dapat menenangkan fikiran dan menghilangkan stress.
- Bersenam
Bersenam dapat meningkatkan hormone endorfin, mengurangkan ketegangan otot dan stress. Antara jenis senaman adalah berjalan dan bersenam-robik.
- Berfikiran positif
Kita perlu sentiasa berfikiran positif atau melihat kebaikan dalam mana-mana situasi yang bersifat nagatif. Pelajari cara berfikiran positif kerana ia akan dapat membantu kita menangani stress dengan lebih berkesan.
Kesimpulannya, tekanan dan stress adalah perasaan semula jadi yang sedia ada pada setiap individu dan banyak faktor yang mendorong kepada desakannya terhadap seseorang individu. Mengenali dan menguruskan tekanan adalah kemahiran yang penting dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Amalan gaya hidup sihat, teknik pengurusan stress, dan sokongan sosial dapat membantu individu mengatasi tekanan dengan lebih efektif.