Kepentingan Tidur

Kepentingan Tidur

Tidur memainkan peranan penting dalam kesihatan dan kesejahteraan fizikal serta mental. Selain daripada pengambilan makanan berkhasiat dan bersenam, tidur yang cukup juga penting dan ia merupakan salah satu asas utama kesihatan. Jumlah tidur yang diperlukan berbeza mengikut setiap orang. Individu dewasa biasanya disarankan untuk mendapatkan antara 7-9 jam tidur setiap malam untuk kesihatan yang optimal. Berikut adalah beberapa kepentingan tidur:

 

Kesihatan mental

Tidur yang mencukupi memberi impak positif kepada fungsi kognitif, termasuk daya ingatan, tumpuan, dan kreativiti. Tidur amat penting kerana ia berpotensi meningkatkan pembelajaran dan memori. Kajian menunjukkan tidur memainkan peranan yang cukup penting dalam aspek memori, sekali gus mempengaruhi kebolehan seseorang untuk belajar. Tidur juga membantu meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah, konsentrasi dan produktiviti. Kurang tidur boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan mental seperti kebimbangan dan kemurungan.

 

Pengurusan berat badan

Kurang tidur boleh menganggu keseimbangan hormon ghrelin dan leptin di dalam badan, di mana kedua-dua hormon ini boleh mengawal atau menambah selera makan yang menyebabkan pengambilan kalori berlebihan sehingga berat badan bertambah. Kurang tidur berkait rapat dengan peningkatan nafsu makan, terutamanya keinginan untuk makan makanan tinggi lemak dan karbohidrat. Ini boleh menyumbang kepada masalah berat badan dan obesiti.

 

Kesihatan jantung dan tekanan darah

Tidur yang berkualiti mengurangkan beban terhadap jantung anda, kerana tekanan darah dan kadar degupan jantung menurun pada waktu malam. Kurang tidur berkait dengan peningkatan risiko penyakit jantung dan tekanan darah tinggi. Tidur yang mencukupi membantu dalam menjaga kesihatan kardiovaskular.

 

Pemulihan emosi

Tidur dan emosi mempunyai kaitan yang rapat. Orang yang tidur secukupnya cenderung lebih baik mengawal emosi dan respon kepada stres dengan lebih efektif.

 

Meningkatkan sistem imun

Tidur memberi peluang kepada badan untuk pulih dan memperbaiki tisu-tisu rosak. Sel-sel diperbaharui dan kuatkan sistem imun semasa tidur. Ada kajian yang mendapati bahawa mereka yang kurang tidur lebih kerap mengalami demam.

 

Keselamatan

Kurang tidur berkait dengan peningkatan risiko kemalangan, terutamanya ketika memandu kereta, terlelap walau seketika (microsleep) boleh menyebabkan kemalangan jalan raya. Individu yang tidur secukupnya lebih cenderung untuk menjaga keselamatan diri dan orang lain.

 

Kesihatan Kulit

Tidur membantu dalam pemulihan dan penjagaan kulit. Sel-sel kulit berkembang dengan lebih baik semasa tidur, dan kurang tidur boleh menyebabkan masalah kulit.

 

Apa yang penting bukan sahaja mendapat tidur yang cukup tetapi juga berkualiti. Beberapa cara untuk meningkatkan kualiti tidur dan memastikan tubuh badan anda mendapat tidur malam yang mencukupi:

Mempunyai rutin tidur yang tetap iaitu tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari.

Amalkan rutin sebelum tidur yang menenangkan seperti mandi air panas, membaca atau mendengar muzik yang menenangkan boleh membantu menguatkan isyarat kepada tubuh bahawa sudah tiba masanya untuk tidur.

Meminimumkan bunyi bising, cahaya dan suhu panas atau sejuk yang berlebihan di dalam bilik.

Elakkan penggunaan gadget sebelum tidur. Cahaya biru dari telefon pintar, tablet, atau komputer boleh mengganggu proses tidur.

Elakkan minuman yang mengandungi kafein dan nikotin 4-6 jam sebelum tidur. Kedua-duanya boleh menyebabkan gangguan tidur.

Elakkan makan terlalu kenyang sebelum tidur, tetapi juga elakkan perasaan lapar yang terlalu kuat. Snek ringan mungkin membantu jika anda terlalu lapar.

Senaman berkala boleh membantu meningkatkan kualiti tidur. Namun, elakkan senaman yang terlalu berat berhampiran waktu tidur.

Comments 
Leave a comment
Your Email Address Will Not Be Published. Required Fields Are Marked *