Penjagaan Pakaian Untuk Tahan Lebih Lama

Penjagaan Pakaian Untuk Tahan Lebih Lama

Semua orang semestinya inginkan pakaian kekal lama dan cantik untuk tempoh masa yang panjang. Oleh itu, perlulah manjaga pakaian dengan lebih rapi supaya tahan lama terutamanya pakaian yang bersulam, berbatu, bermanik atau berlabuci. Hari ini Ayuwan ingin berkongsi sedikit tip-tip penjagaan pakaian untuk memastikan pakaian sentiasa nampak cantik dan tahan lebih lama.

 

Asingkan pakaian mengikut warna dan jenis material

Pakaian yang berwarna cerah harus diasingkan dengan warna yang gelap. Ini kerana, kemungkinan pakaian yang berwarna gelap luntur warnanya ketika dibasuh dan akan melekat pada pakaian yang berwarna putih ataupun cerah. Pakaian juga harus diasingkan mengikut jenis material sebelum dibasuh kerana terdapat pakaian yang kainnya sensitif yang memerlukan cara pencucian khas dan tidak boleh dicampur dengan pakaian yang lain.

 

Jangan biarkan pakaian direndam terlalu lama

Antara satu faktor yang menyebabkan pakaian mudah rosak ialah pakaian direndam dalam satu tempoh masa yang lama. Adalah memadai direndam dalam 30 minit dan tidak perlu hingga 2 atau 3 hari. Rendaman yang terlalu lama perlu dielakkan kerana bahan pencuci yang digunakan mengandungi bahan yang boleh merosakkan pakaian dan akan menyebabkan pakaian tidak tahan lama.

 

Jangan sental pakaian terlalu kuat dengan berus

Pakaian yang diberus dengan kuat akan mudah rosak dan terkoyak. Jika ingin memberus pakaian, janganlah menggunakan tenaga berlebihan dan menggosoknya terlalu kuat. Selain itu, pakaian yang kain lembut seperti tudung dan selendang tidak perlu digosok, sebaliknya cukup sekadar dicuci menggunakan tangan.

 

Elakkan menggunakan peluntur

Ramai yang akan menggunakan peluntur untuk menghilangkan kesan kotor atau tompok pada pakaian. Jika boleh, adalah dinasihatkan untuk elakkan penggunaan peluntur seperti Clorox. Ini kerana peluntur mengandungi bahan kimia yang sangat kuat. Ia boleh menyebabkan pakaian menjadi mudah reput dan tidak tahan lama.  

 

Elakkan mengguna mesin basuh

Mencuci pakaian menggunakan mesin basuh lebih mudah dan menjimatkan masa. Namun, bukan semua pakaian sesuai menggunakan mesin basuh. Pakaian dengan material kain yang lembut, mempunyai manik, berbatu atau berlabuci dan tudung sebaik-baiknya dicuci menggunakan tangan untuk mengelakkan pakaian jenis ini rosak.

 

Jemur pakaian dengan segera

Pakaian yang siap dicuci haruslah dijemur dengan kadar segera. Elakkan membiarkan pakaian yang dicuci tanpa dijemur. Pakaian basah yang dibiarkan tanpa berjemur akan menjadi berbau busuk yang tidak mudah hilang dan bertahi lalat.

 

Terbalikkan pakaian yang dijemur

Jika inginkan warna pakaian kekal cantik sama seperti baru untuk tempoh yang lama, pakaian haruslah diterbalikkan ketika dijemur supaya bahagian luarnya tidak terkena cahaya matahari secara langsung. Sinaran matahari akan menyebabkan warna pakaian menjadi pudar dan lusuh.

 

Elakkan menggunakan penyangkut baju untuk menjemur pakaian

Gantung pakaian terus ke atas ampaian dan elakkan mengguna penyangkut baju ketika menjemur pakaian. Ini kerana pakaian yang basah mengandungi air. Air akan menarik bahagian leher ke bawah dan membuatkan leher dan bahu baju menjadi besar dan melebar.

 

Seterika

Pakaian semestinya akan kelihatan baru dan kemas sekiranya diseterika sebelum dipakai. Namun, janganlah sesekali menggosok pakaian yang masih basah. Ini akan menyebabkan pakaian rosak. Pastikan pakaian yang diseterika kering sepenuhnya.

 

Ini antara tips yang ingin kami kongsikan kepada anda semua. Harap dapat membantu supaya pakaian anda tahan lebih lama. Semoga bermanfaat.

Comments 
Leave a comment
Your Email Address Will Not Be Published. Required Fields Are Marked *