Kesan-kesan Cahaya UV dan Impak Terhadap Kesihatan

Kesan-kesan Cahaya UV dan Impak Terhadap Kesihatan

Dalam sambungan dengan penekanan kami sebelum ini tentang kepentingan melindungi diri dari cahaya ultraviolet (UV), blog kali ini akan menguraikan dengan lebih lanjut mengenai bahaya yang terlibat apabila terdedah kepada cahaya UV.

Pendedahan kepada sinaran UV secara melampau memberikan kesan buruk pada kulit, mata dan sistem imun. Terdapat 3 jenis sinar UV iaitu UVA, UVB dan UVC. Walaupun atmosfera bumi menyaring sebahagian besar sinaran UVC, UVA dan UVB masih dapat mencapai permukaan bumi dan mempunyai kesan yang boleh membahayakan.

Sinar UVA adalah penyumbang utama kepada penuaan kulit. Sinar UV ini memiliki gelombang panjang yang dapat masuk ke lapisan dermis kulit dan radiasinya merosakkan sel-sel kulit, serat kolagen, dan serat elastin sehingga membuat kulit mengalami penuaan. Pendedahan berlebihan kepada cahaya UV akan mempercepatkan proses penuaan kulit dan pembentukan garis-garis halus serta kedutan. Sementara itu, sinar UVB (UV Burning) memiliki gelombang yang lebih pendek sehingga radiasinya hanya terjadi di lapisan epidermis kulit dan menyebabkan kulit terbakar (sunburn). Pendedahan berlebihan kepada sinar UV, terutama UVB, meningkatkan risiko kanser kulit.

Mata adalah antara bahagian yang paling sensitif dan terdedah. Pendedahan kepada sinaran UV yang berpanjangan menyebabkan banyak masalah mata seperti katarak, kemerosotan makular, lapisan kornea terbakar (fotokeratitis), keradangan dan benjolan.

Bukan itu sahaja, pendedahan UV boleh mengurangkan pertahanan badan kita terhadap tumor kulit. Sinar UV dapat merosakkan sel-sel kulit dan mengurangkan keupayaan sistem imun kulit untuk melawan jangkitan. Sistem pertahanan yang merosot juga boleh meningkatkan risiko jangkitan virus, bakteria, parasit atau kulat. Sistem imun yang lemah mungkin kurang responsif terhadap vaksin, yang boleh memberi impak negatif terhadap perlindungan imun.

Untuk melindungi diri daripada bahaya cahaya UV, disarankan untuk menggunakan pelindung matahari, memakai pakaian perlindungan UV, dan mengelakkan pendedahan berpanjangan kepada matahari terutama pada waktu tengahari. Selain itu, penggunaan topi dan payung juga dapat membantu melindungi kulit dan mata daripada sinar UV yang merbahaya.

Comments 
Leave a comment
Your Email Address Will Not Be Published. Required Fields Are Marked *