Persediaan Melangkah ke Tahun Baru 2024

Persediaan Melangkah ke Tahun Baru 2024

Seolah tidak percaya, kita sudah memasuki bulan terakhir tahun 2023 dan hanya beberapa hari lagi kita akan menyambut tahun baru 2024. Adakah anda sudah bersedia untuk menyambut tahun baru 2024 dan meninggalkan 2023? Walaupun Tahun Baru lebih sinonim dengan perayaan bersama orang tersayang, sebenarnya ia juga dapat dijadikan momen muhasabah diri untuk menjadi lebih baik. Tahun baru selalu diiringi dengan resolusi atau azam baru. Resolusi ini mencerminkan tekad kita untuk berubah dan memperbaiki diri menuju ke arah yang lebih baik. Jika anda masih keliru tentang apa yang perlu lakukan untuk menyambut tahun baru, sila lihat blog ini mengenai persediaan yang dapat anda lakukan untuk menyambut tahun 2024.

 

Mengimbau kembali pencapaian satu tahun

Satu tahun pastinya bukanlah masa yang singkat. Terdapat begitu banyak peristiwa yang telah anda alami, dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan selama setahun ini. Fikirkan tentang apa yang telah anda lakukan selama dua belas bulan yang lalu. Bersyukurlah untuk semua yang anda berjaya capai pada tahun lalu dan bersedia untuk mencapai lebih banyak lagi serta menjadi lebih baik pada tahun yang akan datang. Dengan cara ini, anda akan lebih bersemangat menyambut tahun baru kerana anda tahu anda tidak membuang masa pada tahun lepas. Bukan hanya kejayaan, malah mungkin juga terdapat kegagalan yang pernah anda alami pada tahun lalu. Ini bukan untuk mengingatkan anda untuk bersedih, sebaliknya untuk mengingati tentang pengajaran yang diperoleh dari kesilapan yang telah dibuat. Kesilapan bukanlah sesuatu yang perlu dikesali, tetapi sebagai motivasi untuk menjadi lebih baik pada tahun akan datang.

 

Membuat penilaian senarai target yang belum dicapai

Persediaan sebelum tahun baru yang boleh anda lakukan ialah menyemak semula azam atau target tahun ini. Anda boleh menilai rancangan sebelumnya untuk melihat apakah yang tidak tercapai mungkin disebabkan oleh hal-hal yang tidak diduga atau masalah lain seperti bajet yang tidak mencukupi. Jika terdapat azam yang tidak dapat dicapai pada tahun ini, cubalah lagi pada tahun hadapan. Buat nota ringkas mengenai mengapa resolusi ini tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini. Nota ini dapat menjadi panduan untuk membantu anda merealisasikan resolusi tersebut pada tahun hadapan.

 

Bersih dan kemas

Anda juga boleh membersihkan dan mengemas rumah sebagai sebahagian dari persiapan untuk menyambut tahun baru. Pilih item yang anda boleh simpan dan yang anda perlukan. Buang barang-barang yang tidak sesuai dan tidak digunakan lagi. Anda pasti akan lebih selesa dengan barang yang lebih sedikit dan ruang rumah yang lebih luas. Terdapat juga cara yang lain seperti mereka bentuk semula bilik usang, menyusun semula perabot di dalam bilik kecil dan mengecat rumah.

 

Tetapkan dan buat senarai misi/matlamat

Kita perlu ada matlamat dan tujuan yang jelas dalam hidup. Ini kerana, tanpa matlamat yang jelas, kita tidak akan mempunyai arah tuju yang betul, dan mungkin kita boleh tersasar jauh dari hala tuju yang diinginkan. Anda juga boleh memasukkan semula resolusi tahun ini yang belum direalisasikan atau menggantikannya dengan resolusi yang lebih baik. Apabila sudah tetapkan misi/matlamat di tahun baru, jangan lupa untuk senaraikan segalanya. Tulislah apa saja yang kita inginkan seperti membeli barang baru, bercuti ke suatu destinasi atau anda juga boleh menimba pengalaman atau pencapaian dalam bidang akademik atau bukan akademik. Dari senarai itu, kita akan sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat tersebut.

 

Mencuba perkara baru

Jika anda rasa aktiviti anda selama setahun adalah sama, cuba lakukan sesuatu yang baru. Cuba keluar dari zon selesa anda dan mencari perkara baharu yang lebih menyeronokkan pada tahun hadapan. Contoh, mencuba sesuatu yang baru seperti memasak untuk diri sendiri, berbasikal pada hujung minggu atau aktiviti baru yang lain.

 

Merancang percutian

Sekadar menyebut perkataan 'bercuti' sudah cukup membuatkan kita gembira. Walaupun mungkin belum pasti ada bajet, tetapi senaraikan di antara matlamat kita untuk tahun baru dan kemudian uruskan kewangan untuk mencapai matlamat tersebut. Bercuti penting untuk terapi dan memanjakan diri, menghapuskan segala penat lelah serta tekanan yang ada.

 

Menjaga kesihatan dan amalkan gaya hidup yang sihat

Perkara seterusnya yang boleh anda lakukan untuk mempersiapkan diri untuk tahun baru ialah menjaga kesihatan dan memastikan badan anda cergas. Bukan sahaja kesihatan fizikal, kesihatan mental pun penting. Amalkan gaya hidup yang sihat. Lakukan senaman secara teratur sekurang-kurangnya 2 kali seminggu. Melakukan aktiviti fizikal dengan kerap amat penting bagi memastikan badan sihat dan cergas sekaligus mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Aktiviti fizikal juga mampu menjamin kesihatan mental dengan membantu mengurangkan tekanan, kebimbangan atau keresahan, kemurungan atau masalah perkembangan kognitif.

 

Menjaga hubungan

Ciptalah sebanyak mungkin kenangan manis dengan orang yang tersayang, keluarga, kawan-kawan, dan sesiapa saja selagi mereka masih bersama kita. Biarkan hubungan kita semakin rapat, harmonis, bahagia, dan silaturahim semakin erat. Marilah kita melangkah ke tahun baru dengan lebih tenang dan bahagia. Walau bagaimanapun, jika terdapat hubungan yang semakin teruk dengan orang lain, cuba semak semula apakah masalah antara anda dan orang itu. Perbaiki hubungan yang anda boleh, tetapi lupakan dan teruskan hidup anda jika ada orang yang tidak memberi kesan positif dalam hidup anda. Menjelang tahun baru 2024, mari kita persiapkan diri dengan membentuk sahsiah yang lebih baik. Semoga impian kita tercapai dengan izin Allah.

 

Apa azam tahun baru 2024 anda? Mari sambut tahun baru dengan harapan dan impian baru. Selamat tahun baru 2024.

Comments 
Leave a comment
Your Email Address Will Not Be Published. Required Fields Are Marked *
Our Topics
Subscribe Us
Subscribe to our newsletter and receive a selection of cool articles every weeks