Cara Mudah Penjimatan Elektrik
Penggunaan elektrik yang tidak terkawal boleh menyebabkan berlakunya pembaziran. Dengan mengamalkan cara yang betul, anda boleh mengurangkan bil elektrik serta menjimatkan duit. Antara tip penjimatan elektrik yang mudah dilakukan dan berkesan ialah:
Tutup suis apabila tidak digunakan
Cara yang paling asas dan mudah untuk menjimatkan tenaga elektrik ialah menutup segala suis peralatan yang tidak digunakan. Tutupkan suis kipas dan lampu apabila anda meninggalkan bilik atau ruang. Selain itu, tutup suis pengecas telefon sebaik saja ia penuh kerana mengecas secara berlebihan membazirkan tenaga elektrik dan juga akan mengurangkan jangka hayat bateri dan peranti anda. Anda juga disyorkan untuk turut mencabut plug yang tidak diguna untuk jimat lebih tenaga.
Kawal penggunaan penyaman udara
Penyaman udara merupakan antara peralatan yang meningkatkan bil elektrik anda. Tetapkan penyaman udara pada suhu optimum 24-26°C. Elakkan dari menetapkan suhu yang terlalu rendah dari yang diperlukan kerana ia akan menyebabkan penyaman udara anda menggunakan tenaga yang berlebihan. Tingkap dan pintu mesti ditutup rapat supaya bilik cepat sejuk dan juga untuk mengelakkan udara sejuk daripada terbebas. Selain itu, guna alat pemasa untuk menutup penyaman udara secara automatik selepas beberapa jam apabila ruang bilik sejuk. Jangan lupa juga untuk membersihkan penapis penyaman udara anda dari semasa ke semasa. Penapis yang kotor bukan sahaja menyebabkan penyaman udara menggunakan tenaga yang berlebihan malah turut membuatkannya kurang sejuk.
Manfaatkan cahaya semula jadi
Gunakan cahaya semula jadi untuk menerangi kediaman anda. Cukup dengan membuka langsir dan membiarkan cahaya matahari masuk. Ini semestinya dapat menjimatkan elektrik kerana penggunaan lampu dan kipas pada waktu siang berkurangan. Selain itu, teknik pencahayaan yang baik dapat membuat ruang yang kecil kelihatan lebih luas.
Gunakan mesin basuh dengan muatan penuh
Setiap mesin basuh didatangkan dengan kapasiti mengikut berat yang tertentu. Cara efisien menggunakan mesin basuh adalah membasuh dengan muatan penuh dan juga digalakkan menggunakan air sejuk berbanding air panas. Membasuh dengan jumlah pakaian yang sedikit hanya akan menggunakan lebih banyak tenaga.
Gunakan Mentol Lampu Yang Menjimatkan Tenaga
Cara lain menjimatkan elektrik adalah menggunakan mentol lampu yang menjimatkan tenaga (energy saving bulb). Pada masa sekarang, terdapat empat jenis yang biasa digunakan iaitu lampu pijar, lampu halogen, lampu pendarfluor dan lampu diod pemancar cahaya (LED). Lampu pendarfluor dan lampu diod pemancar cahaya (LED) merupakan pilihan lampu terbaik yang anda boleh gunakan di kediaman anda. Lampu ini menghasilkan kurang haba dan dapat mengurangkan penggunaan elektrik sebanyak 25-35 peratus.
Beli peralatan yang menjimatkan tenaga
Anda boleh merujuk kepada label kecekapan tenaga ketika membeli peralatan elektrik. Menggunakan peralatan yang menjimatkan tenaga dapat mengurangkan bil elektrik anda. Suruhanjaya Tenaga di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli telah memperkenalkan inisiatif untuk membantu rakyat Malaysia membuat pilihan yang lebih bijak. Produk-produk akan di label daripada 1 hingga 5 bintang, di mana 5 bintang menunjukkan kecekapan yang lebih tinggi. Semakin banyak bintang pada label, semakin jimat penggunaan tenaga elektrik. Jadi, pastikan anda memilih peralatan yang mempunyai lebih banyak bintang sewaktu membeli barangan elektrik untuk rumah anda.